Hati Seorang Guru

"Tadi..." Ibu membuka cerita. Beginilah aku bila pulang bercuti. Memang aku gemar menyendeng di tepi ibu yang sedang menjahit. Berkongsi cerita. 

"Hmm?" Responku tanda berminat. 

"Waktu keputusan SPM diumumkan, ibu duduk di belakang. Dengan Cikgu Melati. Sama-sama berdebar tunggu keputusan anak didik sendiri." Jeda seketika. 

Aku pandang ibu. Mata ibu tetap pada jahitan baju di tangan. Aku tahu cerita ibu bukan sekadar itu. Ibu gemar berjeda apabila bercerita. Sengaja menbuat aku tertunggu-tunggu. 

"Jadi, kenapa?" Soalku. 

"Ada seorang budak tu. Budak kelas hujung, aliran sastera. Keputusannya baik, dapat  7A. Biasalah bila dapat keputusan cemerlang, namanya akan dipanggil menerima slip di atas pentas. Beserta ibu bapanya sekali. Dan budak itu bawa emaknya yang sudah tua, nampak benar bukan orang senang." Nafas ditarik perlahan. 

Aku hanya diam. Memberi ruang kepada ibu menyambung cerita. Dalam diam aku dapat mengagak arah cerita ibu. 

"Ibu pandang Cikgu Melati di sebelah. Lantas kami berdua pun menangis melihatnya. Selepas menerima slip, raut wajah si emak nampak benar seronok. Terus disalamnya kami, cikgu-cikgu di belakang. Riak kesyukuran itu jelas di wajahnya. Bersungguh-sungguh dia berterima kasih kepada kami. Puas kami menahan air mata."

"Ibu memang kuat berdrama." Aku ketawa kecil. Sengaja sebenarnya. Tidak mahu ibu masih terlalu emosi. Sejurus itu pukulan kecil hinggap di bahuku yang masih ketawa. 

"Ish budak ini, bukan itulah. Kalau engkau yang lihat sendiri pasti engkau pun akan sebak sama." Ibu turut ketawa. 

"Lepas tu apa jadi?" Cerita ibu masih belum tamat, aku cukup arif. 

"Engkau kenal si Ahmad?" soal ibu. 

Aku cuma mengangguk. Juniorku ketika aku masih di sekolah. Kelas belakang juga kalau tak silap aku. Pernah kudengar namanya, popular juga waktu di sekolah dulu. Cuma tak dapat kuingat yang mana satu. Wajahnya gagal aku cari dalam kotak memoriku. Ah, aku begitulah. Sukar benar mengingat wajah orang. 

"Ha! Budak itu lagi kasihan kalau kau lihat. Namanya turut dipanggil ke pentas. Dia pun naiklah membawa ayahnya yang juga sudah tua. Tapi kau tahu, ayahnya berjalan seperti orang buta walaupun celik. Rabunnya teruk benar barangkali. Dipimpin ayahnya macam yang kau lihat di tv. Seperti memimpin orang buta melintas jalan."

Ibu diam lagi. Kaca mata yang melorot ke hidung ditolak ke atas. Ibu menghela nafas. Aku masih juga diam, setia menanti cerita ibu. 

"Sekali lagi ibu dan Cikgu Melati menangis. Ah, bukan kami berdua sahaja. Cikgu lain pun ibu lihat turut sebak sama."

"Kasihannya. Tentu ayahnya bangga benar dengan anaknya. Anak lelaki pula tu, nakalnya sudah menjadi satu hal. Bila dapat keputusan yang baik, tentu gembira bukan main." Ujarku. Mindaku membayangkan situasi itu. Pasti syahdu sekali suasananya. 

"Itulah maksud ibu. Sekolah kampung, begitulah. Paling senang pun, anak-anak yang ibu bapanya pendidik. Jarang sekali kau lihat anak orang berada di sekolah kampung seperti ini. Orang berada, lain. Anak-anak boleh dihantar belajar tinggi-tinggi walaupun keputusan tak seberapa. Tetapi tidak dengan orang kampung. Anak itu pandai atau tidak, itu sahajalah harapannya. Kau lihat si emak tua yang terus bersalaman dengan kami. Kalau dia bukan orang susah, tidaklah dia terus meluru untuk bersalaman. Pasti dia akan tunggu hingga selesai majlis, barulah datang bersalaman. Tetapi orang kampung, memang itu lagaknya. Ibu juga orang kampung, maka ibu tahu benar. Manalah hati ibu tidak diruntun pilu."

   Ibu mematikan jahitannya. Benang yang berbaki kurang sejengkal di jarum itu dibuangnya. Dia beralih pula ke mesin jahitnya, menyambung jahitan. Aku kekal di tempat aku berbaring tadi. 

"Nanti kau jadi cikgu, kau akan tahu. Kau lihat anak-anak murid kau. Berjaya atau tidak, itu hasil didikan engkau. Kalau engkau guru yang gagal, anak didik engkau yang menjadi mangsa. Tapi bila engkau lihat anak didik tersenyum riang menikmati kejayaan, pasti engkau yang akan menitiskan air mata. Kepuasan itu akan kau rasa. Biarlah engkau berhempas-pulas untuk mereka, asalkan hatimu puas. Puas melihat kejayaan anak didik sendiri. Puas melihat titik peluh yang menitis itu membuahkan hasil. Nantilah, kau akan rasa semua tu nanti."

    Aku merenung belakang ibu yang sibuk dengan jahitannya. Kata-kata ibu cukup meninggalkan kesan buat aku. Ya, aku juga bakal guru. Suatu hari nanti, tentu aku juga akan menghadapi situasi yang sama. Jatuh bangun anak-anak didikku akan aku saksikan. Kuatkah aku? Mampukah aku lihat anak-anak yang aku didik terduduk kecewa? Atau mungkinkah aku yang rebah dahulu? Bagaimana pula andai mereka berjaya? Mungkinkah aku yang terlebih gembira? Mengalir jugakah air mata aku yang hampir tidak pernah aku titiskan? Ah, seribu satu bayangan muncul di benak fikiranku malam itu. Berimaginasi sendiri tentang bagaimanalah aku bila menjadi guru suatu hari nanti. Ibu pula, tentu akan menyimpan ceritanya dalam kotak memori yang paling dalam. Tersorok, tetapi tidak dilupakan. 

     Hati seorang guru begitulah, fikirku.

Comments

Popular posts from this blog

Bulanku

Selagi Ada Cinta

Perahu Kertas Dafi.