The Ice Queen

(PART 2)

Afiq Luqman memerhati gadis yang tumpang berteduh di perhentian bas itu. Mata gadis itu merenung kosong jalanraya yang sibuk itu. Sekali-sekala terdengar keluhan kecil dilepaskan dari bibir comel itu. Sekilas dia ternampak senyum tawar terukir. Entah apalah yang difikirkan. Afiq Luqman mengerling sekilas jam di tangan sebelum mengalih pandangannya pada basikal di sisi dan baju hujan di tangan. Mindanya ligat merencana sesuatu sebelum kakinya dibawa melangkah menuju gadis itu.

“Hari makin gelap. Hujan masih lebat. Lebih baik kau balik rumah sekarang. Kau tu perempuan,” ujarnya sambil menghulurkan baju hujan di tangan. Bibirnya mengukir senyum nipis sebaik sahaja baju hujan itu bertukar tangan. Afiq Luqman kemudiannya berlalu pergi meredah hujan dengan senyum yang berbunga. Namun senyuman itu pudar apabila minda mengimbas wajah gadis itu ketika dia menyorongkan basikal miliknya di hadapan gadis itu.

“Mata dia basah. Kenapa?”

######################################

Dan esoknya Rianna Aliya berbasikal ke akademi dengan hasrat hendak memulangkan basikal itu kepada tuannya kalau terserempak di mana-man. Tapi nampaknya sampai ke pagar akademi pun dia masih tidak dapat bertemu dengan pemilik basikal itu. Gadis itu kemudian menghela nafas. Dia paling tak suka situasi begini. Gadis itu cukup pantang hendak menerima pertolongan orang lain. Diakan Ice Queen.

            Langkah kaki dibawa menuju ke kelas. Pagi itu tiada apa-apa yang berubah. Rutin yang sama dilakukan setiap hari. MP3 dan earphone kekal setia menemani. Namun suasana pagi itu sedikit berubah apabila kelibat Puan Maria kelihatan di muka pintu kelas bersama seorang pelajar baru. Masing-masing teruja menerima rakan baru namun tidak bagi Rianna Aliya. Gadis itu, biasalah. Kekal tidak beremosi.

            Namun hatinya tetap ingin tahu. Maka dia memandang sekilas. Tanpa disengajakan, mata mereka bertentangan. Melihat wajah itu, darah terasa berderau ke muka meski wajahnya ditahan dari berubah riak. Cepat-cepat dia mengalih pandang, memfokuskan pandangan pada rumput-rumput hijau di padang. Emosinya berkecamuk di dalam, namun gadis itu bijak mempamerkan wajah tenangnya. Dalam diam telinganya cekap menangkap pengenalan diri lelaki itu.

“Saya Afiq Luqman bin Ilham. Gembira dapat berkenalan.”

###################################

Afiq Luqman sopan mengikut langkah Puan Maria yang membawanya ke kelas barunya. Dan hatinya lega apabila kehadirannya di kelas itu diterima baik. Seketika dia menebarkan pandangannya ke seluruh kelas. Dan matanya terhenti pada satu wajah. Matanya cekap menangkap riak terkejut pada wajah itu, namun gadis itu cepat menyembunyikannya. Belum sempat dia mengukir senyum, wajah itu sudah dipalingkan memandang ke luar tingkap. Dia kemudiannya berdehem kecil sebelum memperkenalkan dirinya.

“Saya Afiq Luqman bin Ilham. Gembira dapat berkenalan.” Dan dia kembali mengukir senyum.

###################################

Waktu rehat yang dinantikan akhirnya tiba juga. Rianna Aliya cepat-cepat melangkah keluar dari kelas menuju ke bumbung akademi, tempat kegemarannya. Dadanya terasa sesak berada di dalam kelas yang sama dengan lelaki yang bernama Afiq Luqman itu. Wajah yang mirip dengan abangnya itu hanya membuatkan emosi yang selama ini tidak berusik berkecamuk sekelip mata. Wajah itu baginya hanya membuka luka lama. Luka yang cuba dirawat bertahun-tahun, namun masih berdarah. Gadis itu kemudiannya melepaskan keluhan.

“Ice Queen, tak baik mengeluh,” tegur satu suara. Satu suara yang cukup memeranjatkan gadis itu. Cepat dia menoleh melihat empunya suara. Mata yang terasa panas cuba ditahan daripada mengeluarkan air mata.

            Afiq Luqman mengangkat kening sambil tersenyum senget melihat reaksi gadis itu. Dia kemudiannya menyambung kata dengan niat hendak mengusik. “Apa? Rianna Aliya. The Ice Queen. Betullah kau, kan?”

            Rianna Aliya mengetap bibir. Namun dia diam tidak membalas. Ice Queen mana pernah bergurau. Gadis itu memaksa diri membuka mulut. Nada suaranya tetap dingin.

“Bawah pokok tepi padang, ada basikal kau. Baju hujan ada dalam plastik yang aku sangkut,” Dia terhenti sebelum menyambung. “Dan terima kasih.” Serentak itu kakinya dibawa melangkah ke pintu.

            Langkahnya terhenti apabila tiba di pintu. Wajah Mat, Ali, Lili dan Umairah yang sebenarnya dari tadi cuba mengintai dan mencuri dengar dipandangnya satu-satu. Hubungan mereka agak renggang sejak kejadian 10 tahun yang lalu. Namun dia tahu, empat sahabat itu sentiasa ada menjaganya dari jauh. Dan dia berterima kasih untuk itu. Senyum tawar diukir sebelum membuka mulut. “Aku okey. Jangan risau.” Langkah diteruskan menuju ke kelas meninggalkan empat sahabat yang tercengang melihat senyum yang terukir.

###############################

“Emm, korang? Itu pertama kali Rian senyum sejak 10 tahun kan?” Mat menggaru kepala. Tiga kepala yang masih tercengang hanya mengangguk. Minda masing-masing tidak dapat mencerna situasi yang sedang berlaku.

##############################
“Semua pelajar diwajibkan menyertai aktiviti kelas tahun ini. Penting untuk kamu semua sebab saya akan buat pemarkahan untuk ujian akhir kamu berdasarkan kriteria yang saya tetapkan. Kamu boleh tengok butiran lengkap dalam borang yang saya edarkan. Diingatkan sekali lagi, penyertaan adalah wajib.” Tegas Puan Maria ketika sibuk mengedarkan borang kepada pelajarnya.

            Rianna Aliya meneliti borang yang diterima itu. Nampaknya tahun ini dia akan pergi berkhemah dengan rakan sekelas. Ice Queen pergi berkhemah dan bersosial? Dia ketawa dalam hati. Gadis itu kemudiannya menebarkan pandangan ke seluruh kelas. Semua orang nampak teruja. Cuma gadis itu sahaja yang nampak biasa-biasa. Teruja pun tidak, membantah pun tidak. Namun rakan sekelasnya tidak hairan dengan wajah kosong gadis itu. Biasalah, Ice Queen.

#################################

“Agak-agak Rian akan tak apa-apa ke nanti?” soalan Lili itu berbaur kerisauan. Empat sahabat itu kini sedang duduk menyendeng di meja Afiq Luqman sebaik sahaja Puan Maria melangkah meninggalkan kelas.

“Aku yakin dia tak apa-apa. Jangan risaulah. Rian yang aku kenal sejak lahir sebenarnya sangat berdikari walaupun dia akan bertukar manja bila dengan…oops,” bicara Umairah terhenti apabila menerima jelingan maut daripada tiga kepala.

            Afiq Luqman yang sedar akan keadaan itu mengerut dahi. “Dengan?” soalnya minta disambung.

            Mat menghela nafas. “Apapun, aku nak kau berdua sentiasa ada dengan Rian nanti. Kalau boleh kau orang mesti satu pasukan, tidur sekhemah. Baru senang hati aku. Aku, Ali dan Afiq akan tengok dari jauh sahaja. Boleh?” Soalan Afiq Luqman tadi dibiarkan sahaja. Tak perlu diungkit kisah lama.

Ai, ai captain,” sahut tiga suara. Afiq Luqman hanya menjongket kening. Dia abaikan aku macam tu je? Nampaknya ada cerita yang aku tak tahu ni.

#############################

“Pesan saya, jaga keselamatan diri masing-masing. Saya nak kamu semua nikmati percutian pendek ini sebelum kita kembali ke akademi untuk ujian dan peperiksaan. Itu sahaja daripada saya. Berseronoklah.” Taklimat ringkas Puan Maria itu disambut dengan tepukan para pelajar sebelum masing-masing bersurai untuk mendirikan khemah.

            Rianna Aliya turut sibuk memasang khemahnya dengan dibantu Lili dan Umairah. Telinganya samar-samar menangkap perbualan dua sahabat itu di sebalik headphone di kepala. Dia kemudiannya senyum nipis. Teringat ketika dia masih kecil. Dia dan Abang Rizalnya cukup suka main khemah-khemah di garaj kereta. Sebenarnya dia seorang sahaja yang seronok. Abang Rizalnya pula biasalah, tak habis-habis dengan buku. Tengah bermain pun sibuk dengan buku. Setiap kali abangnya hanyut dalam dunianya sendiri, dia akan menjerit betul-betul di telinga lelaki itu. Dan setiap kali itulah Rizal akan ketawa besar sebelum bangkit mengejar adik nakalnya. Dan akhirnya Rianna sendiri puas hati sebab berjaya mengalihkan tumpuan Rizal.

            Gadis itu menggigit bibir bawah sedar sebeum menghela nafas. Abang Rizal…

#############################

“Umai, tahu tak acara apa malam ni?” soal Lili.

“Tak tahu. Apa dia?” soalan dibalas soalan.

Campfire.”

Campfire? Habis Rian macam mana?” figura Ice Queen itu dipandang dengan ekor mata.


“Itulah yang aku risaukan.” Dua pasang mata kini merenung susuk tubuh yang masih leka menyusun barang.

Bersambung....

Comments

Popular posts from this blog

Bulanku

Selagi Ada Cinta

Perahu Kertas Dafi.