The Ice Queen
(PART 3)
Rianna
Aliya duduk bersila diapit kiri dan kanan oleh sahabat paling setia, Lili dan
Umairah. Wajahnya pucat berpeluh, namun dalam gelap malam ini tak ada siapa yang
sedar akan hal itu. Tangannya menggenggam kuat tangan Lili dan Umairah,
meminjam kekuatan. Matanya terpaku pada unggun api di tengah-tengah bulatan.
Imaginasinya semakin liar membayangkan api yang sedang menyala itu semakin
marak dan akhirnya… argh! Dia memejamkan mata. Tangannya semakin kuat
menggenggam.
Umairah sedar akan hal itu.
Cepat-cepat dia bertanya. “Rian, kau okey? Kalau kau nak kita boleh minta excuse
dengan Puan Maria.”
Gadis itu menggeleng kepala. “Tak
apa. Aku okey,” jawabnya perlahan. Dia tidak mahu kerana traumanya, dua
sahabatnya itu tidak dapat menikmati acara malam itu. Ini pun dia sudah duduk
paling jauh daripada kumpulan. Lili dan Umairah tidak merungut. Jadi, biarlah
dia mengalah sedikit. ‘Tak apalah Rian. Tahan, Rian. Api kecil je tu,’ Dia
memujuk hatinya sendiri.
“Hah,
kamu bertiga! Kenapa duduk jauh sangat tu? Datang dekat sikit,” tegur Puan
Maria.
Lili dan Umairah berbalas pandang.
Masing-masing serba salah. Hendak menurut, risaukan teman yang seorang ini.
Hendak menolak, yang mengajak itu cikgu sendiri. Rianna sedar dilema yang dialami
dua rakannya itu. “Tak apa, kita datang dekat sikit.” Terketar-ketar dia
bersuara sebelum bangkit dari duduk.
Langkah kaki diatur lambat-lambat.
Sementara Lili dan Umairah masih teragak-agak. Namun dalam pada dia melangkah,
wajahnya semakin pucat. Tangannya juga semakin sejuk. Mata masih terpaku pada
unggun api di tengah-tengah bulatan itu. Tangannya kuat memegang lengan Lili
di sebelahnya bila badan terasa menggigil. Bibirnya diketap kuat. Kakinya
terasa lembik namun dia memaksa juga untuk meneruskan langkah.
Mat
dan Ali yang melihat dari jauh mula gelisah. Masing-masing tidak sedap hati
melihat wajah pucat Rianna. Afiq Luqman pula mengerut dahi. “Kenapa dengan dia?
Sakit ke?” Soalan yang ditujukan kepada dua lelaki itu dibiar tidak berjawab.
Tetapi
mereka tidak tahu, seorang Rianna Aliya itu sedang berperang dengan dirinya
sendiri. Semakin dia memaksa diri, seakin dia tak mampu. ‘Sikit lagi, Rian.
Sikit lagi.’ Dia berbisik sendiri. Satu langkah, dua langkah... Dan akhirnya, bbam!!
Dia rebah tak sedarkan diri.
“Rianna!!”
####################################
“Rian.” Uhh, siapa panggil aku ni?
“Rianna Aliya.” Ulang suara itu lagi. Suara ni
macam suara... Abang Rizal?
Dia membuka mata. Satu figura yang dikenalinya
menjengah pandangan mata. “Abang Rizal?” soalnya perlahan sebelum esak
tangisnya kedengaran.
“Shhh. Ni kenapa menangis pula ni? Adik
abangkan kuat?” pujuk Rizal lembut. Setiap kali abangnya memujuk lembut, setiap
kali itulah Rianna akan automatik berhenti menangis.
“Haa berhenti pun. Macam inilah adik abang.
Dah, dah. Rian sambunglah tidur. Abang nak baca buku dulu. Shh, tidur.” Rizal
menunjukkan buku di tangan.
Rianna
hanya menurut. Seolah-olah dia masih lagi seorang Rianna Aliya yang berusia
tujuh tahun. Perlahan-lahan dia memejamkan mata. Buku yang Abang Rizal pegang
tu macam kenallah. Itu buku yang Abang Rizal bawa pergi main bunga api dulu tu,
kan? Seketika kemudian dia tersentak sebelum membuka mata.
Namun
yang dilihatnya kali ini bukan abang yang sangat dirindui. Lima wajah tercegat di
hadapan katil. Dia kemudiannya menoleh ke sebelah. Wajah ibunya dipandang lama
sebelum melepaskan tangisan. Tangisan yang sudah terlalu lama disimpan sendiri.
Gadis itu kini mengongoi dalam pelukan ibunya dengan wajah disembamkan ke bahu.
Dia sudah tidak peduli dengan kewujudan lima rakannya itu. Melihatkan situasi
itu, Mat mengisyaratkan empat rakannya supaya perlahan-lahan meninggalkan bilik
itu, memberi ruang kepada dua beranak itu.
“Ibu...”
###########################################
“Maaf buat kamu tunggu lama,” tegur Puan
Zahra.
Lima
sekawan itu masing-masing senyum hormat. Datangnya mereka berlima ke rumah itu
kerana risaukan Rianna yang seminggu demam sejak jatuh pengsan di tapak
perkhemahan tempoh hari. Kali terakhir gadis itu demam teruk begini adalah pada
10 tahun lalu. Ketika itu baru seminggu selepas tragedi kebakaran itu berlaku.
“Rian macam mana, auntie?” Mat bertanya
sopan.
“Dia baru sahaja tidur semula. Keadaan dia
sama macam 10 tahun lalu,” kata Puan Zahra sebelum pandangannya terhenti pada
wajah Afiq Luqman. Wajah anak muda itu memang mirip dengan wajah anak
sulungnya. Mula-mula dia terkejut juga melihat wajah itu terpacak di pintu
rumah bersama empat anak muda yang memang dikenalinya. Namun dia cepat tersedar ke
dunia nyata. Seiras tak bermakna itu anaknya. Wanita itu kemudiannya mengukir
senyum nipis.
“Kamu berbuallah dulu. Auntie siapkan
makanan,” ujarnya sebelum menghilang di sebalik dapur.
“Fiq, kau nak dengar suatu cerita?” Mat orang
pertama membuka mulut beberapa minit selepas Puan Zahra meninggalkan mereka
berlima di ruang tamu itu. Dia kemudiannya memandang wajah tiga lagi rakannya,
meminta kebenaran sebelum pandangannya dijatuhkan pada wajah Afiq Luqman.
Sahabatnya itu mengerut dahi sebelum mengangguk tanda berminat. Dia menghela
nafas sebelum bersuara.
“10 tahun lalu...”
############################################
Suasana ruang tamu rumah itu sunyi sepi
apabila Mat menamatkan ceritanya tentang gadis bernama Rianna Aliya dengan dibantu
tiga teman akrabnya. Dia masih lagi merenung wajah Afiq Luqman yang jelas
terkejut.
“Jadi maknanya, kehadiran aku cuma buatkan dia
semakin terseksa sebab muka aku, muka yang sama dengan muka abang dia?” Afiq
Luqman ketawa tawar. “Rupa-rupanya aku cuma membuka luka lama.”
“Tak juga.” Ali menggelengkan kepala. “Lepas
kau datang kacau dia di bumbung akademi dan kami berempat tertangkap menghendap,
itu pertama kali dia senyum depan kami selepas 10 tahun. Walaupun sekadar
senyum tawar, tapi memang itulah senyuman pertama dia selepas 10 tahun.”
###########################################
Setelah sembilan hari dia demam, hari ini dia
menghadirkan diri ke akademi. Sejak kejadian dia pengsan tiak sedarkan diri
tempoh hari, inilah kali pertama dia kembali bertemu dengan rakan sekelasnya.
Dia sedar, ada 26 pasang mata yang memerhatikannya sebaik sahaja dia melangkah
masuk ke kelas. Gadis itu mengekalkan wajah tenangnya ketika melabuhkan
punggung di kerusinya sebelum empat sekawan datang mendekati mejanya.
Rianna
Aliya mengoyak senyum. Janggal. Namun bagi seorang Ice Queen, senyuman
janggal itu besar ertinya. Dia kemudiannya bersuara. “Aku okey.” Jeda seketika.
“Dan terima kasih. Untuk segalanya.” Senyum lagi. Kali ini senyuman itu lebih
manis.
Lili
dan Umairah tidak dapat menahan perasaan lantas memeluk tubuh gadis itu. Mat dan
Ali yang meihat pula hanya tersenyum. Afiq Luqman sekadar memerhati dari tempat
duduknya. Cerita Mat tempoh hari masih berlegar-legar dalam kepalanya. Dia
langsung tidak menyangka seorang Rianna Aliya menyimpan sebuah kisah di sebalik
personalitinya itu. Dia mengeluh kecil. Rianna...
######################################
Tengah
hari itu, seperti biasa Rianna Aliya menuju ke bumbung. Namun langkahnya
terhenti di muka pintu apabila kelibat Afiq Luqman kelihatan. Terus dia
membatalkan niatnya. Badannya dipusingkan dengan tujuan hendak kembali ke kelas.
“Nanti.” Baru sahaja dia hendak melangkah
pergi, lelaki itu menahannya. Lambat-lambat dia berpusing kembali memandang
wajah di hadapannya.
Afiq
Luqman diam sejenak. Kemudian dia menyambung. “Aku faham sekarang. Tentang kau,
abang kau, trauma kau dan sebab kau menangis waktu pertama kali kita bertemu. Tentang
segalanya.”
Riak
wajah Rianna ketika itu memang tak tahu nak ditafsirkan bagaimana. Marah?
Sedih? Afiq Luqman meneka-neka sendiri. Selagi tembok yang dibina gadis itu
tidak diruntuhkan, selagi itulah gadis itu tidak dapat ditebak perasaannya. Dan
akhirnya gadis itu cuma melepaskan keluhan. Yang juga tak tahu nak ditafsirkan
sebagai apa.
Afiq
Luqman merenung wajah gadis di hadapannya. Yang sedang cuba mengelak daripada
memandang wajah miliknya. “Rianna, pandang aku.” Dia senyum nipis.
“Menangislah
Rianna. Menangislah. Kalau itu yang dapat melegakan beban kau, maka
menangislah.” Wajah Rianna yang kehairanan dipandang lagi sebelum dia
menebarkan pandangannya pada pemandangan sekitar akademi. “Dah 10 tahun kau
simpan air mata tu. Mungkin tiba masanya untuk kau lepaskan semua yang kau
simpan.”
“Kau ni kenapa sebenarnya?” suara itu bergetar
di hujung ayat.
“Tengok, nak mengelaklah tu. Degil betul Ice
Queen ni. Afiq Luqman menggeleng kepala sebelum kembali serius. “Kau tahu,
ketakutan itu untuk diatasi. Memang bukan senang untuk lupakan semua yang dah
berlaku. Tapi percayalah cakap aku. Kau
sebenarnya boleh lakukan semua tu. Atasi trauma kau dan lupakan memori pahit
kau.”
“Tapi kau tak faham, Afiq. Aku...aku tak mampu.
Aku sendiri pernah cuba lupakan semuanya, tapi aku tak kuat, Afiq. Dan kau tahu
apa aku buat? Lari. Aku tak mampu, jadi aku lari. Setiap malam, aku telan ubat
tidur. Kau tahu kenapa? Sebab aku terlalu takut, untuk tidur sekalipun! Sebab
bila aku tidur, bayangan kejadian tu menghantui tidur aku. Aku mimpikan
kejadian tu setiap hari! Sejak 10 tahun lalu, tahu tak?” Tembok perasaan yang
dibina akhirnya runtuh juga. Air mata yang mengalir deras dikesat dengan
belakang tangan. Kemudian dia menyambung kata. “Dan setiap kali aku telan ubat
tu, aku rasa diri aku sangat menyedihkan. Pathetic! Tapi apa pilihan
yang aku ada, Afiq? Aku tak ada pilihan lain.”
Afiq
Luqman diam. Gadis di hadapannya sudah terduduk memeluk lutut. Wajah yang basah
dengan air mata itu disembamkan ke lutut. Untuk seketika dia diam. Membiarkan
gadis itu menangis semahu-mahunya. Dan akhirnya gadis itu berhenti menangis
dengan sendirinya. Afiq Luqman menyeluk poket uniformnya sebelum menghulurkan
sapu tangan miliknya kepada gadis itu apabila dia mula tenang. Lelaki itu masih
diam, tunduk merenung Rianna.
“Kenapa kau diam? Mesti kau rasa aku ni
seorang yang menyedihkan, betul?”
“Kau salah. Aku gembira kau akhirnya lepaskan
semua yang berbuku. Dan kau tak sendirian, Rianna. Aku cukup faham situasi kau.
Kita berada dalam kapal yang sama, tetapi kabin yang berbeza.” Afiq Luqman
menghela nafas. “Aku... emm sebenarnya... aku sebenarnya takut gelap.”
Perlahan suaranya memberitahu.
Rianna
Aliya yang dari tadi sibuk mengesat kesan air mata dengan sapu tangan milik
lelaki itu terhenti pergerakannnya. Tanpa dapat ditahan, dia ketawa kecil. Afiq
Luqman yang melihat reaksi gadis itu terpana seketika. “Apalah kau ni. Tak macho
langsung takut gelap. Kau ingat takut gelap dengan takut api tu sama?” usik
Rianna.
Afiq
Luqman membulatkan mata. “Hei, aku cakap ni bukan nak suruh kau ketawakan aku.”
Kemudian dia turut ketawa. “Aku sendiri tak tahu kenapa imaginasi aku cukup
dahsyat bila duduk dalam gelap.” Ketawa lagi.
Keadaan
itu berterusan selama beberapa minit. Akhirnya masing-masing berhenti setelah
beberapa minit ketawa macam tak cukup nafas.
“Afiq.” Rianna ukir senyum. Kali ini senyum
ikhlas. “Terima kasih.”
“Sama-sama.” Senyap seketika. “Rianna?”
“Ya?”
“Kau cantik bila ketawa. Ruginya kau simpan
ketawa tu selama ni.”
Dan mereka ketawa lagi.
“Sudah-sudahlah ketawa tu,” tegur satu suara.
Rianna dan Afiq berpaling serentak.
“Seronok nampak? Langsung tak sedar kami
berempat yang terpacak dari tadi,” bebel Ali. Mat, Lili, dan Umairah hanya
ketawa sambil menuju ke arah Rianna dan Afiq.
Rianna
Aliya memandang wajah empat sahabat sejak kecilnya itu. “Mat. Ali. Lili.
Umairah.” Dia menyebut satu-satu. Bibirnya menguntum senyum ikhlas sebelum
kembali bersuara. “Terima kasih. Dan maaf juga. Untuk segalanya. Untuk selama
ini.” Mata itu kembali basah.
Mereka
berempat hanya mengangguk faham. Mengerti akan kata-kata yang tak terungkap.
Lili dan Umairah memeluk sahabat yang seorang itu. Erat.
“Kau tahu Rian, tuhan sahaja yang tahu betapa
risaunya aku dengan kau selama ini.” Lili bersuara dalam tangis.
“Tuhan saja yang tahu betapa rindunya aku
dengan Rian yang dahulu. Dan aku sangat bersyukur, bila Rian yang aku kenal
sejak lahir dah kembali,” bisik Umairah.
Rianna
Aliya ketawa dalam tangisnya yang bersisa. “Dan tuhan saja yang tahu betapa
bersyukurnya aku dianugerahkan sahabat macam kau berempat.”
Mat
merangkul bahu Afiq dan Ali di kiri dan kanannya. Bibirnya mengukir sengihan
nakal. “Rian, kau jangan senyum selalu sangat. Terpikat aku nanti, susah.”
Rianna
Aliya cuma menjeling sedas. Perangai Ice Queen itu masih berbaki. Dan
akhirnya dia kembali ketawa. Dan kali ini, mereka ketawa berenam.
“Abang Rizal, Rian dah okey sekarang,” bisik
hati kecilnya.
TAMAT...
Comments
Post a Comment