The Ice Queen
(PART 1)
“Abang Rizal!!” Rianna Aliya terbangun dari tidur. Sejenak matanya
memerhati bilik tidurnya kemudian melepaskan keluhan kecil. Aku mimpi rupanya,
desis hati kecilnya. Rianna Aliya meraup wajah. Gadis itu kemudiannya bersandar
pada kepala katil dan duduk memeluk lutut. Dahinya yang berpeluh dikesat dengan
belakang tangan.
“Tak Rian, itu bukan mimpi. Itu memori,” bisiknya sendiri.
Tangannya mencapai
bingkai gambar di atas meja tepi katil. Matanya meneliti wajah-wajah yang
tersenyum riang dalam gambar. Ada dia, ibu, ayah dan Abang Rizal. Gambar itu
diambil ketika umurnya tujuh tahun. Siapa sangka, itulah gambar terakhir yang
dapat dirakam sebagai satu keluarga lengkap? Rianna memejamkan matanya,
mengimbas memori silam.
###########################################################
(10 tahun lalu)
“Abang Rizal, jom main bunga api dekat ‘pondok’ sana. Ada Mat, ada
Ali. Lili dengan Umairah pun ada sekali,” rengek Rianna Aliya.
“Mana dapat bunga api Rian?” soal Rizal kepada adiknya.
Soalan itu dijawab dengan sengih nakal adiknya. Rizal menggeleng
kepala. Namun diturutkan juga kehendak adik kesayangannya. Maklumlah, mereka
dua beradik sahaja. Tentulah dia sebagai abang sulung akan menjaga dan
melindungi adik perempuannya. Walaupun baru berumur 12 tahun, namun corak pemikiran
Rizal tidak seperti umurnya yang masih muda. Rizal seorang yang matang. Oleh
sebab itu kedua ibu bapa mereka tidak takut meninggalkan Rianna Aliya di bawah
jagaan Rizal ketika keluar bekerja.
Setibanya di rumah
tinggal tempat mereka selalu bermain, Rizal seperti biasa melayan kerenah
kanak-kanak berlima itu dahulu sebelum duduk bersila di pintu membelek buku
yang sentiasa dibawa bersama. Lilin yang telah dinyalakan diletakkan di atas
lantai rumah yang digelar pondok itu.
“Main elok-elok. Jangan gaduh-gaduh,” pesan Rizal sambil tersenyum
sebelum tenggelam dalam dunia bukunya sendiri.
“Tak acilah kau Mat. Aku yang cadangkan main bunga api dulu,”
bentak Rianna.
“Tapi aku yang beli bunga
api ni. Jadi, akulah yang patut main bunga api yang terakhir ni,” balas Mat
lalu menjelirkan lidah. Tanpa mempedulikan Rianna, dia terus membakar bunga api
yang terakhir sambil bersorak riang.
Rianna yang melihat semakin sakit hati. Gadis kecil itu mula
menghentak-hentakkan kaki tanda protes. Rizal yang masih leka membaca bukunya
tidak sedar akan hal itu. Rianna masih lagi menghentakkan kakinya kerana tidak
dilayan rakan-rakan kecilnya. Tanpa sedar, kakinya tersepak piring lilin di
depannya. Lilin yang tergolek itu cepat memakan lantai kayu rumah itu. Rianna
mula ketakutan. Abang dan rakan-rakannya masih tidak sedar akan perkara itu.
Rianna mula menangis ketakutan apabila api mula marak. Kakinya terlalu lemah
untuk melarikan diri.
Rizal kembali ke
dunia nyata apabila bahang api mula terasa. Dia berpaling apabila terdengar suara
tangisan adiknya dari dalam rumah. Dia terkejut melihat api dari dalam rumah,
namun akal warasnya cepat menyuruhnya bertindak. Walaupun cemas, dia masuk ke
dalam rumah mencari Rianna. Hatinya yang mula lega melihat adiknya
kembali cemas apabila teringatkan empat kanak-kanak lain masih terperangkap.
Segera dia membawa adiknya keluar sebelum kembali masuk mencari yang lain.
Walaupun dadanya mula terasa sesak dan penglihatannya makin kabur, Rizal tetap
gigih meneruskan pencarian. Hatinya kesal kerana terlalu leka dengan dunianya
hingga terlupa tugasnya menjaga kanak-kanak itu.
Orang ramai sudah
mula berkumpul ketika Rizal masih mencari tiga lagi kanak-kanak. Lili sudah
selamat dibawa keluar. Dadanya yang semakin sesak menyebabkannya terbatuk-batuk
ketika masih mencari. Akhirnya dia berjaya menemui Mat, Ali dan Umairah di
hujung sudut rumah. Pasukan bomba pula tiba pada ketika Rizal berjaya membawa
mereka keluar. Namun, sebaik sahaja kakinya menjejak tanah, dia rebah tak
sedarkan diri.
###########################################################
Rianna Aliya mengesat air mata di pipi. Abang Rizalnya meninggal
dunia kerana terlalu banyak menghidu asap. Keadaan Rizal semakin teruk kerana
dia mempunyai asma sejak kecil. Rianna Aliya mengetap bibir. “Abang Rizal, maafkan
Rian,” bisiknya sendiri sambil mengesat mata yang masih basah.
Bingkai gambar di
tangan diletakkan kembali di tempat asalnya. Tangannya mencapai botol ubat di
sisi katil. Sebiji pil dikeluarkan. Tidurlah Rian, desis hati kecilnya sebelum
menelan pil putih itu. Gadis itu kembali meletakkan kepalanya ke bantal,
memaksa dirinya melelapkan mata.
###########################################################
Suasana kelas 5 Alfa riuh dengan suara ahlinya. Masing-masing
bersemangat mahu memulakan tahun baru dengan azam baru. Rianna Aliya seperti
biasa mengambil tempat di tepi tingkap. Tempat duduk tepi tingkap itu memang
tiada siapa berani ambil. Itu kawasan jajahan ‘The Ice Queen of Victoria Academy’.
Rianna
Aliya binti Mazlan. Gelaran ‘Ice Queen’ itu sudah sebati dengan hidupnya.
Entah siapalah yang memberi gelaran itu. Dia sendiri tidak pernah peduli. Gadis
itu tidak pernah dilihat tersenyum, apatah lagi berbual dan bergurau. Dia juga
tidak berminat untuk bergaul dengan rakan sekelas. Wajahnya juga tidak
beremosi. Dingin, beku. Dan dia senang begitu.
MP3 yang tersorok
dalam poket uniform dimatikan apabila kelibat Puan Maria kelihatan
di pintu kelas. Earphone yang tersumbat di telinga juga ditarik. Heh, Ice
Queen pun hormat guru, tahu?
###########################################################
Rianna Aliya melangkah perlahan keluar dari kelas sebaik sahaja
tamat sesi persekolahan. MP3 yang tadinya dihidupkan semula sambil sebelah
tangannya ligat menyumbatkan earphone ke telinga. Matanya mengerling jam
di tangan sebelum mendongak ke langit. Macam nak hujan, getus hatinya. Langkah
kakinya dipercepat supaya sempat tiba di rumah sebelum hujan turun.
Selang beberapa
minit selepas itu hujan mula turun. Makin lama makin lebat. Rianna segera
berhenti berteduh di sebuah perhentian bas berhampiran. Matanya sibuk memerhati
kenderaan lalu-lalang.
Time
passes like water flows
I’m
building a dam called memories
There are
memories that I couldn’t hold onto
It’s the
reason why I look beyond the horizon again today.
Bibirnya mengukir senyum kecil
apabila MP3 memainkan lagu Time and Fallen Leaves. Ingatannya melayang
kepada Abang Rizal. Abang Rizal ialah memori yang disimpan kemas dan dibina
tembok batu disekelilingnya. Emosinya turut dikunci dalam empangan yang dibina,
menjadikan Rianna Aliya seorang yang sukar dibaca.
I’m
walking barefoot through the memories
The
colored leaves that embrace me
I’m
giving my all as I softly lean on them.
Rianna masih lagi setia mengira
titik-titik hujan. Ingatannya masih lagi pada abangnya yang sangat sukakan
hujan. Setiap kali hujan, Rizal pasti akan bertenggek di tingkap biliknya.
Rianna pula tentulah akan turut sama menyibuk di sisi abangnya.
Lamunannya terhenti apabila sebuah
basikal diletakkan betul-betul di hadapannya. Dia kemudiannya berpaling melihat
tuan punya basikal sebelum tersentak. Matanya terasa panas tiba-tiba apabila
melihat wajah di hadapannya. Lelaki itu kemudiannya menghulurkan baju hujan di
tangannya. Rianna yang masih lagi terkejut hanya memandang kosong baju hujan
yang telah bertukar tangan.
“Hari
makin gelap. Hujan masih lebat. Lebih baik kau balik rumah sekarang. Kau tu
perempuan,” Lelaki itu mengukir senyum nipis sebelum berlalu pergi. Rianna
masih terdiam melihat wajah itu. Tanpa sedar bibirnya mengungkap kata. “Abang
Rizal?”
Bersambung...
Comments
Post a Comment