Selagi Ada Cinta

 Selagi Ada Cinta.

Ana tersenyum kecil membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya. Hati rasa berbunga bila mengetahui penat lelahnya dihargai sang anak didik. Sejenak dia diam, berkira-kira sendiri. Dia tidak pasti, adakah dia layak dihargai sedemikian rupa? Dia sedar, masih banyak yang perlu dia pelajari. Malah kadang-kadang dia rasa gagal apabila melihat seorang dua murid yang hanya sekadar membisu di dalam kelas.

            Ana menghela nafas. Selama tiga bulan itu, setiap hari bagaikan episod baharu buatnya. Dan kini, setiap episod diulang siar dalam kepala. Sesaat dia menarik sengih, sesaat yang lain dia melepas keluh. Telinganya bagai terngiang-ngiang suara riang kanak-kanak memanggilnya. Wajah-wajah yang bersorak saat melihat kelibat seorang Cikgu Ana berlegar di ruang mata. Dia menggeleng sendiri. Tangannya mencapai telefon pintar yang diletakkan di sebelah. Mata dijamu dengan puluhan gambar yang diambil bersama murid-murid pertamanya. Dia mengukir senyum saat membelek wajah-wajah riang itu satu persatu. Sehinggalah matanya jatuh pada satu wajah itu.

***********

Kaki diatur laju menuju ke destinasi tanpa menghirau hiruk-pikuk di keliling. Sesekali dia bertukar senyum menegur guru-guru yang berselisih dengannya. Sebelah tangannya memeluk erat buku di dada manakala sebelah laginya menggenggam bakul besar berisi bahan bantu mengajar. Anak tangga mula didaki menuju destinasi yang semakin hampir. Dia membetulkan nafas sebelum berhenti di hadapan pintu kayu hijau yang usang. Mata dihala ke papan kecil yang bertampal di pintu.

‘3 Iman.’

Dia mengira di dalam hati. ‘Satu… dua … tiga!’

“CIKGU ANA!” sorak 3 Iman.

Cikgu Ana menyembunyi senyum. Tahu sangat dengan reaksi murid kelas itu. Pantang nampak kelibatnya, pasti ramai-ramai akan bersorak menyebut namanya. Separuh hatinya suka dengan perhatian itu, separuh hatinya lagi berasa segan. Takut-takut diusik guru-guru lain. Yalah, ilmu yang dia ada cuma seruas jari kelingking. Berbanding dengan guru-guru yang dia gelar sifu, apalah yang ada pada dia sehingga suka benar murid-murid dengannya.

            Namun saat dia melangkah masuk kelas itu, dia tidak peduli lagi dengan perasaan segan dan rendah dirinya. Saat dia berdiri di hadapan 30 pasang mata itu, perhatian dan minat mereka menjadi miliknya. Peduli apa dia kalau sifu hendak mengusiknya? Peduli apa dia kalau 30 pasang mata itu hanya memandangnya semata-mata kerana dia guru sementara di situ? Dia sudah melompat, menari, dan menyanyi di hadapan 30 pasang mata itu. Bilik darjah itu bagaikan pentas untuknya. Saat dia di hadapan, dia bagai menari mengikut irama. Tangan dan kakinya tidak pernah dibiarkan pegun. Suaranya seperti melodi yang membentuk sebuah lagu. Dan hatinya? Puas. Hatinya sangat puas. Ah! Indah sekali, saat seorang Ana menjadi guru.

“Baiklah murid-murid. Siapa di antara kamu yang mempunyai haiwan peliharaan?”

Dan suara Cikgu Ana pun tenggelam di balik suara-suara kecil yang berebut memberi jawapan.

***********

            Seperti biasa, kaki dibawa melangkah menuju bilik darjah. Cikgu Ana mengibas-ngibaskan tudungnya dengan harapan angin dapat memasuki ruang leher yang sudah dibasahi peluh. Dahinya berkerut menahan terik matahari. Sesekali dia mengoyak senyum tiga saat bila berselisih dengan guru lain. Selebihnya dia menjatuhkan pandangan matanya ke lantai, mengelak dari bertembung mata dengan sesiapa. Hari itu dia bagai tidak bercahaya. Tidak seperti hari-hari yang lainnya. Langkah kakinya juga tidak berirama seperti selalu. Malah dia terasa payah benar hendak mengukir senyum sekalipun.

            Cikgu Ana melepaskan keluh saat dia berdiri di hadapan pintu kelas. Rasa tikaman di perut membuatkannya tidak mampu bereaksi dengan sorakan 3 Iman. Terus sahaja dia menuju ke meja guru dan meletakkan barang-barangnya. Mata kemudian dihala ke arah 30 tubuh kecil yang memandangnya. Dia diam sejenak selepas salamnya disambut.

            Tanpa nada, dia bersuara. “Buka buku teks mukasurat 65. Kita akan membaca tentang haiwan yang tinggal di ladang.”

            Kelas jadi riuh seketika dengan pelbagai bunyi kerusi meja sejurus arahan diberikan. Cikgu Ana menarik nafas panjang. Dia membisik sabar dalam hati. Riak wajah ditahan daripada berubah tegang. Sebaik dia melihat buku terbentang di atas 30 buah meja itu, dia memulakan pengajarannya. Tetapi kali ini, dia tidak menari mengikut irama.

***********

            Loceng berbunyi menandakan 30 minit sudah berlalu sejak dia memulakan sesi pengajarannya. Cikgu Ana sedang memberi arahan yang seterusnya kepada 30 murid itu. Dan seperti kelaziman Cikgu Ana, dia akan mengulang arahannya sebanyak tiga kali. Biar semua faham, itu prinsipnya. Sebaik sahaja dia selesai mengulang arahan buat kali ketiga, mata tertancap pada seorang kanak-kanak perempuan yang sentiasa gemar memanggil namanya.

            “Ya, Husna. Nak tanya apa?” soal Cikgu Ana sambil menahan kerut di dahi dek rasa tikaman di perut yang semakin ngilu.

            “Cikgu… tak faham.”

            Mendengar sebaris ayat itu, Cikgu Ana tidak lagi dapat menahan riak wajahnya. Tangan dibawa mencekak pinggang. Bukan dia tidak nampak, Husna sibuk menggeledah laci mejanya ketika dia mengulang arahan. Cuma dia malas ambil pusing. Dia cuma mahu waktu berlalu dengan lebih pantas. Namun bila anak itu memintanya mengulang arahan, hatinya terasa panas serta-merta.

            “Kan cikgu dah ulang banyak kali. Bahagian mana yang tak faham? Tadi cikgu cakap, awak buat apa di belakang? Cikgu dah kata, mula-mula cari seorang kawan. Kemudian tanyakan padanya soalan-soalan yang cikgu telah tulis di papan. Seterusnya tuliskan semula jawapannya dalam kertas yang cikgu beri tadi. Akhir sekali tampalkan kertas itu elok-elok dalam buku latihan awak. Susah sangat ke tugasan yang cikgu suruh ni?”

Seisi kelas senyap sunyi mendengar suara Cikgu Ana yang semakin tinggi di setiap ayat. Husna terkebil-kebil di tempat duduknya. Cikgu Ana tidak pernah marah begini. Paling tidak, senyumnya sahaja yang hilang menunjukkan tanda marah. Itupun jarang sekali kerana 3 Iman biasanya bijak mendengar kata.

Cikgu Ana memandang kelas yang sunyi itu. Dia menghela nafas. Mata dijatuhkan pada Husna yang kini tunduk. Terbit rasa kesal di hati kerana meninggikan suara. Dia menggigit bibir. Tangan yang bercekak di pinggang sudah dijatuhkan.

“Sudah, mulakan aktiviti sekarang.”

            25 minit yang seterusnya berlangsung dengan kesibukan 3 Iman membuat aktiviti yang diberikan. Cikgu Ana mengelilingi kelas, memantau aktiviti murid. Sesekali dia berhenti memberi tunjuk ajar di meja-meja tertentu. Tetapi matanya kerap benar memerhati Husna. Rasa kesal masih berbekas di hati. Melihatkan sinar mata yang hilang pada seorang Husna membuatkan hatinya terus digigit rasa serba-salah. Biarpun berpuluh-puluh kali dia berbisik pada hati membela diri. Dalam diam, dia akui bahawa dia layak dicengkam rasa yang melemaskan itu. Dia tahu, dia gagal bersikap matang kali ini. Dialah yang bersalah. 

***********

            Hari berganti hari. Cahaya Ana sudah kembali. Dia kembali membisik melodi indah di bilik darjah. Segalanya berlaku seperti biasa. Tidak ada yang terkurang, tidak juga terlebih. Cuma satu bezanya. Husna. Husna tidak lagi aktif mengajukan soalan. Malah dia banyak berdiam tatkala Cikgu Ana membisik melodi. Suaranya tidak lagi kedengaran. Anak itu hanya menyiapkan tugasan-tugasannya tanpa banyak bicara.

            Dan setiap kali Cikgu Ana terpandangkan wajah polos itu, hati diruntun rasa. Lebih-lebih lagi bila dia lihat mata anak itu yang kosong. Tiada rasa. Dia sudah mati akal memujuk Husna secara halus. Diberikan Husna ganjaran sebagai murid aktif, dipujinya juga Husna setiap kali anak itu menghantar buku latihan. Entah bermacam cara lagi dia telah buat, demi memujuk rajuk Husna. Namun tidak satu pun berjaya.

            Dan kini, dia sudah putus asanya. Tidak mahu terlalu melebihkan Husna. Saat dia memutuskan untuk berhenti memujuk, dia menelan liur yang terasa pahit. Dia tahu, kegagalan dia memujuk Husna bererti dia akan terus dihantui rasa kesal kerana keterlanjurannya. Dan dia pasrah.

            ‘Tak apalah. Memang salah engkau pun,’ bisiknya sendiri.

***********

            Bulan dan matahari muncul silih berganti. Genaplah tiga bulan Ana menjalani kehidupan sebagai guru praktikal. Terlalu banyak yang dia cintakan dalam tempoh itu. Ana terasa benar-benar hidup. Mekar dalam satu perjalanan. Hatinya puas.

            Kini dia mengayun langkah menuju 3 Iman buat kali terakhir. Bibir mengukir senyum namun hati terasa perih. 3 Iman buat dirinya rasa diperlukan. Dia rasa dihargai. Dia rasa istimewa.

            Namun itulah adat di dunia. Tidak ada pertemuan yang kekal. Mahu atau tidak, dia harus mengucapkan salam perpisahan. Hari itu, dia memilih untuk membuat aktiviti ringkas. Supaya dia punya waktu menitip pesan.

Dan bila tiba saatnya, dia menahan rasa yang terkumpul dalam hati. Senyum kekal terpamer walau mata mula panas. Bibirnya mengulang maaf dan kasih pada 30 tubuh kecil di hadapannya. Riak wajah kekal tenang menitip pesan rajin belajar. Dia melepaskan tawa kecil apabila suara-suara kecil memujuknya supaya kekal di sekolah itu. Kekal bersama mereka.

Dan tiba-tiba, Husna bersuara perlahan. “Cikgu, saya minta maaf.”

Sebaris ayat itu hampir-hampir membuat Ana tewas. Kolam mata yang baru terbentuk nyaris pecah. Cepat-cepat dia menarik nafas. Senyum kekal terukir di bibir. Hatinya lega. Rajuk Husna sudah terpujuk. Kini tiada lagi yang dia kesalkan. Dia bebas meneruskan langkah tanpa sesalan.

***********

Ana masih lagi tersenyum sendiri. Kepala mendongak memandang langit. Mata dipejam membayang tiga bulan yang penuh makna. Jiwanya tenang. Meski dia masih mentah, namun dia yakin. Dia yakin dia mampu terus menerima kekurangan diri. Mampu untuk terus membisik melodi indah membentuk lagu. Mampu terus mendidik.

Selagi dia hidup. Selagi ada cinta.

***********

-seana, 2.00 am-

1/10/2021

Comments

Popular posts from this blog

Bulanku

The Radio

Bismillah...