Bulanku

Bulanku,

kau telah mengelilingi dunia

sedang aku kekal terpatri di sini

hampir, tapi jauh darimu

namun tak sekalipun kau mengubah paksi

kau setia di sisi Bumi

sedang aku di sini

memandangmu dari kejauhan

berharap kau berpaksikan aku

berharap kau di sisiku

berharap kau memandangku

walau sekali cuma.


Bulanku,

sinarku hanya untukmu

biar kau bercahaya terang

cantik, kata si Bumi

Bumi cinta akan sinarmu

penghiburnya kala duka

tetapi akulah yang memberi sinarmu itu

dan kuberikan padamu

agar kau tidak malap

agar aku dapat melihat kau yang indah

dan Bumi?

Dia melihat kilauanku

panas, kata Bumi

terlalu terang untuknya

kerana kasihnya aku padamu Bulan

tak kusedari bahang Bumi

dan kau yang terpalit sama.


Bulanku,

kau dan aku umpama siang dan malam

kaulah malam dan akulah siang

aku hidup dengan aturanku

dan kau dengan aturanmu

maka tak mungkin kita bertemu

pertemuan kita malah membinasakan

sekali kau memandangku

gelap dan galau si Bumi

namun aku tetap ingin mengenalimu

biarpun dari kejauhan

sang indah yang tewas pada tarikan Bumi

sedang dayaku itu lebih kuat

namun kan kuterus memberimu cahaya

walau aku tidak mampu menarikmu seperti Bumi

biar Bumi terus memuji

kerana kumahu kau bahagia

dan kerana aku masih ingin

melihat kau yang indah.

seana,

1 Oktober 2022

11.23 pm.

Comments

Popular posts from this blog

The Radio

Bismillah...