Perahu Kertas Dafi.

Suasana sayu menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Kampung Sungai Mati. Jemaah yang mengiringi jenazah beransur-ansur pulang meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki bersama ayahnya. Kanak-kanak lelaki itu memerhati gelagat ayahnya yang sedang mengusap-usap batu nisan kubur isterinya sambil menyeka air mata. Setelah beberapa ketika barulah lelaki itu memimpin tangan anaknya keluar dari kawasan perkuburan itu.

*****
“Ahmad Dafi bin Mazlan!”

            Bergema Kelas 5 Amanah dengan suara Cikgu Fakri. 27 pasang mata tertumpu pada figura Cikgu Fakri yang sedang bercekak pinggang di satu sudut kelas. Mata guru itu terjegil melihat anak muridnya yang sedang tersengih itu. Geram hatinya bukan kepalang dengan kelakuan anak muridnya itu. Masakan tidak? Anak itu tidak pernah memberi tumpuan di dalam kelas. Sentiasa sibuk melipat perahu kertas. Tak cukup dengan itu, habis buku latihannya dikoyak demi membuat perahu kertas. Paling menyakitkan hati, anak itu hanya tersengih setiap kali dimarahi. Membela diri tidak, memberontak pun tidak. Pening guru muda itu dengan kerenahnya.

“Macam mana kamu jawab soalan peperiksaan kalau kamu tidak fokus dalam kelas? Kamu menirukah?” tuduh Cikgu Fakri sebelum menghela nafas.

Beliau memicit kepalanya. “Sudah, cikgu mahu kamu berdiri atas kerusi sampai habis waktu. Tumpukan perhatian.”

****
Ahmad Dafi dari Kelas 5 Amanah. Sebaris nama itu cukup terkenal dalam kalangan guru. Murid yang bermasalah. Tidak menumpukan perhatian. Tidak pernah dengar cakap. Tidak makan saman. Itulah yang para guru perkatakan tentang anak itu. Anak itu tidak pernah bersuara. Tidak lagi selepas kematian ibunya empat bulan lalu. Akhirnya, guru-guru mengalah. Tidak mahu memberatkan kepala dengan gelagat seorang murid. Banyak lagi kerja yang perlu mereka selesaikan.

            Kepala Cikgu Fakri kusut. Beliau baru sahaja dua bulan berkhidmat di sekolah itu. Sudah puas dia bertanya pada guru-guru lain tentang Dafi. Tidak seorang pun yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan hatinya. Rata-rata tidak mengambil pusing. Biasalah, kata mereka. Baru lepas kehilangan ibu dan adik. Lama-lama eloklah juga. Namun guru muda itu tidak pernah bersetuju. Baginya, Dafi sangat misteri. Mana mungkin murid yang tidak mengendahkan gurunya masih sangat cemerlang dalam peperiksaannya? Meniru? Tidak mungkin. Berkawan pun tidak, jawapan siapa yang mahu ditirunya?

****
            Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Murid Kelas 5 Amanah berpusu-pusu keluar menuju ke kantin. Dafi sahaja yang tidak peduli. Dia masih di tempat duduknya. Tangannya sibuk melipat-lipat sekeping kertas. Seminit kemudian dia sudah berjaya menghasilkan sebuah perahu kertas. Senyum nipis terukir di bibirnya. Perahu kertas itu kemudiannya diletakkan di dalam laci mejanya bersama-sama perahu kertas yang lain sebelum kakinya dibawa melangkah keluar kelas menuju ke kantin.

            Tanpa sedar, gelagat Dafi diperhati oleh Aman. Aman mencebikkan bibir melihat Dafi. Dia memang tidak sukakan Dafi. Dia cemburukan keemerlangan Dafi walaupun sering dimarahi guru. Dia tidak nampak apakah istimewanya Dafi sehingga sering menjadi bualan guru. Baginya, Dafi tidak lebih daripada seorang budak yang bermasalah. Itu sahaja!

            Mata Aman mengekori gerak laku Dafi. Matanya tertancap pada perahu kertas yang diletakkan di dalam laci meja itu. Tiba-tiba muncul satu idea dalam kepalanya. Sebaik sahaja kelibat Dafi menghilang, dia segera menuju ke meja Dafi. Tangannya mencapai sebuah perahu kertas. Dibelek-beleknya perahu kertas itu. Dia mencebik. Tiada apa-apa yang menarik, desis hatinya.

            Aman merenyukkan perahu kertas itu. Perahu-perahu kertas lain menerima nasib yang sama. Kemudian, dibawanya gumpalan-gumpalan kertas itu dengan tujuan untuk menyembunyikannya daripada Dafi. Biar Dafi kehilangan perahu-perahunya. Biar Dafi menangis dan diketawakan, fikirnya. Dia kemudiannya ketawa kecil. Hatinya terasa puas.

****
            Waktu rehat telah tamat. Dafi dan murid-murid lain melangkah meninggalkan kantin menuju ke kelas. Sampai sahaja di tempat duduk, Dafi mengoyakkan sehelai kertas dari buku kerjanya. Seperti biasa, dia meletakkan perahu kertasnya dalam laci meja. Namun ketika dia meletakkan perahunya itu, jantungnya bagaikan terhenti seketika. Dia menjenguk laci mejanya. Kosong! Hanya tinggal sebuah perahu yang baru dilipatnya tadi.

            Dada semakin berdebar. Ke mana pula perginya perahu-perahu yang lain? Dafi membalikkan beg sekolahnya di atas meja. Perahu kertasnya tetap tidak dijumpai. Dahinya berkerut-kerut. Dia yakin, perahu-perahu kertasnya masih ada sebelum dia keluar berehat tadi.

            Dafi semakin panik. Perahu kertasnya sangat berharga buatnya. Dia tidak sanggup kehilangan perahu-perahunya itu. Emosinya berkecamuk. Dia menyelongkar pula meja-meja di sekelilingnya sambal menangis. Akhirnya dia jadi berang. Kakinya menendang meja dan kerusi. Habis meja diterbalikkannya dek mencari perahu-perahu kertasnya. Dafi tidak dapat berfikir dengan rasional. Kemahuannya cuma satu. Dia mahukan kembali perahu-perahu kertasnya!

            Mujurlah Cikgu Fakri tiba di kelas itu selepas menerima laporan tentang Dafi dari rakan sekelasnya. Pun begitu, guru muda itu jelas tergamam melihat keadaan kelas yang berselerak. Mata guru itu tertumpu pada susuk tubuh Dafi yang sedang duduk memeluk lutut di tengah-tengah kelas.

            Melihatkan keadaan kelas, Cikgu Fakri tidak jadi hendak kasihan pada Dafi yang nampak benar tidak tentu arah. Bahkan dia jadi berang. ‘Buat masalah sahaja yang kau tahu,’ rungutnya dalam hati.

“Dafi! Apa yang kamu buat ni?” Tinggi nada suara Cikgu Fakri.

Senyap.

            Dia melihat Dafi seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Mata anak itu seperti tidak memancarkan sinar. Ketika itu dia sedar, kekerasan tidak boleh digunakan dalam hal ini. Dia kemudiannya menarik lengan Dafi sambil mengarahkan murid-murid lain mengemaskan kelas.

            Aman yang melihat dari jauh tersenyum sinis. Sudah tentu Dafi akan dimarahi teruk. Sekali lagi hatinya puas. ‘Tentu kau akan dikenakan tindakan disiplin. Rasakan!’

****
            Di bilik guru, Cikgu Fakri memicit kepalanya. Sudah puas dia menyoal Dafi. Meminta penjelasan daripada anak itu. Jawapan yang sama sahaja yang diberinya. Perahu hilang, perahu hilang! Selebihnya hanya dijawab dengan gelengan kepala sahaja. Panas juga hati guru muda itu. Mujurlah suasana bilik guru ketika itu lengang. Kalau boleh dia tidak mahu guru-guru lain tahu tentang hal itu. Cukuplah anak itu menjadi bualan yang bukan-bukan oleh guru lain selama ini.

            Matanya masih lagi pada seraut wajah itu. Polos. Tetapi mengapa susah benar cikgu mahu mengenalimu, anak? Wajah itu penuh dengan kesan air mata. Yang menjentik rasa pada seorang guru itu. Anak itu tidak pernah takut apabila dimarahi. Wajah itu selalunya sekadar menayang sengih. Tidak pernah pula dia memberontak begitu. Apa sudah jadi padamu, duhai anak? Mengapa perahu kertas juga yang mengganggu emosimu? Ada apa dengan perahu-perahu kertas itu? Akhirnya guru muda itu mengeluh sendiri.

“Sudah. Sebagai denda, cikgu mahu kamu tulis ‘saya minta maaf’ sebanyak tiga muka surat. Selagi tidak siap, kamu jangan balik rumah.” Tegas, namun nada suaranya sedikit kendur berbanding tadi.

            Dafi sekadar mengangguk kecil sebelum berlar keluar dengan esakan kecil. Cikgu Dafi menghantar kelibat itu dengan gelengan perlahan.

“Apa mahumu, Ahmad Dafi?”

****
Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Perkarangan sekolah sudah sunyi. Tiada lagi hiruk-pikuk. Cikgu Fakri menghembus nafas lega. Siap juga laporan mingguan sekolah yang perlu dibuatnya. Sejenak dia memejamkan mata. Ketika itulah wajah Dafi bermain di fikiran. Jika perahu kertas itu penting untuk Dafi, tentu ada jawapannya tentang tingkah laku anak itu. Itu fikirnya. Guru itu melepaskan keluhan sebelum bangun dan berjalan menuju ke motorsikalnya. Dia bercadang untuk menyiasat Dafi dan perahu kertasnya esok hari. Hari ini, dia mahu berehat dahulu.

            Baru sahaja dia mahu menghidupkan enjin motorsikal, matanya menangkap kelibat objek putih di balik pokok-pokok yang merumpun itu. Cikgu Fakri mengetap bibir.

“Budak-budak ini memang nak kena. Buang sampah merata-rata!” bebelnya sendiri sambil mengutip sampah tersebut.

            Namun dalam dia mengutip gumpalan itu satu persatu, tangannya terhenti seketika. Dahinya berkerut. Gumpalan itu masih berbentuk sebuah perahu walaupun sudah tidak jelas rupanya. Terus dia teringatkan Dafi. Tentu ini perahu-perahu kertas Dafi yang hilang itu, fikirnya.

            Cikgu Fakri kemudiannya membuka lipatan kertas itu. Alangkah terkejutnya dia meelihat tulisan tangan Dafi kemas tercoret di atasnya. Matanya meniti baris-baris ayat pada kertas itu.

Assalamualaikum, ibu.
Dah seminggu ibu dan adik tak ada. Dah seminggu ayah lambat balik rumah. Kenapa ibu tinggalkan Dafi? Ayah pun tak sayangkan Dafi. Nenek kata ibu dan adik ada di syurga. Ibu tunggu Dafi, ya? Nanti kita buat perahu sama-sama. Dafi nak jumpa adik. Dafi rindu ibu sangat. Tunggu Dafi, ya? Janji.

            Cikgu Fakri tergamam membacanya. Tangannya mencapai gumpalan perahu kertas yang lain. Seperti tadi, perahu kertas ini juga mengandungi tulisan Dafi.

Ibu dan adik sihat? Dafi sihat. Ayah macam biasalah. Selalu balik lambat. Selalu sibuk. Tak ada sesiapa nak berbual dengan Dafi. Tapi tak apa-apa. Dafi masih boleh berbual dengan ibu. Ibu nak tahu, hari ini Cikgu Fakri marah Dafi dalam kelas. Dia kata Dafi tak tumpukan perhatian. Cikgu tak tahu, Dafi sebenarnya dengar semua yang cikgu ajar. Cuma Dafi sibuk tulis surat untuk ibu. Ibu jangan marah Cikgu Fakri, ya? Dafi suka Cikgu Fakri. Dia baik. Walaupun dia selalu marah Dafi, tetapi marah itukan tandanya sayang? Lagipun Cikgu Fakri seorang sahaja yang ambil berat tentang Dafi. Dia baikkan, ibu?

            Kali ini Cikgu Fakri tewas. Air matanya yang ditahan sejak tadi menitis juga. Sungguhlah telahannya benar. Dafi bukan biasa-biasa. Dafi bukan murid bermasalah. Rasa bersalah menjalar dalam hati apabila teringat tengkingan dan jerkahan yang diberikan kepada Dafi. Rupa-rupanya Dafi menilai dirinya. Rupa-rupanya anak itu tidak buta menilai layanan orang.

            Cikgu Fakri menyeka air matanya seraya melipat kembali kertas tadi. Dia mengutip perahu-perahu kertas yang bertaburan. Lebih kurang 100 buah semuanya, dia mengagak sendiri. Melihatkan perahu-perahu kertas itu, hatinya kembali diruntun pilu. Rupa-rupanya perahu ini merupakan surat anak itu untuk ibunya. Air matanya kembali mengalir mengenangkan ketabahan seorang Dafi. Hatinya digigit rasa bersalah mengenangkan dirinya yang terburu-buru menghukum. Berkali-kali dia memarahi dirinya sendiri.

“Sampai hati aku tambahkan kesedihan seorang Dafi. Patutlah payah benar cikgu mahu menelah lakumu. Rupanya cikgu telah tersalah menilai kamu. Maafkan cikgu.”

****
            Malam itu, Cikgu Fakri menerima panggilan telefon daripada ayah Dafi. Meminta bantuan guru muda itu mencari anak yang tidak pulang-pulang ke rumah sejak tamat waktu sekolah. Bergegas Cikgu Fakri mencapai kunci motorsikalnya dan keluar meredah pekat malam. Puas dia berpusing-pusing meronda seluruh kampung. Dafi tidak juga ditemui.

            Malam semakin larut. Hati risau memikirikan keselamatan Dafi yang bersendirian dalam kegelapan malam. Ketika Cikgu Fakri sedang berbincang dengan penduduk kampung, beliau mendapat idea. Pantas dia menghidupkan enjin motrsikalnya dan menuju ke kawasan perkuburan yang terletak di hujung kampung. Sepanjang perjalanan, hatinya berdoa supaya anak itu selamat.

            Setibanya di kawasan perkuburan, hati guru muda itu lega bercampur sayu apabila ternampak sebatang tubuh kecil sedang tidur mengerekot di sebelah kubur ibunya yang masih merah. Kasihan sekali anak itu. Pantas dia mengejutkan anak itu dari lenanya lalu memeluk tubuh kecil yang masih mamai. Pencarian malam itu berakhir apabila guru itu mambawanya pulang ke rumah dan disambut oleh penduduk kampung yang kelegaan termasuklah sang ayah. Berulang-ulang kali si ayah mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang sudi membantunya terutama Cikgu Fakri. Betapa si ayah tidak sanggup kehilangan satu-satunya anak yang dia ada.

****
            Hari persekolahan diteruskan seperti biasa. Dafi tetap hadir ke sekolah meski wajahnya tampak murung. Dia sedang berjalan menuju ke bilik guru setelah dipanggil oleh Cikgu Fakri untuk bertemu beliau selepas tamat waktu sekolah. Dia yakin bahawa dia akan dimarahi tentang peristiwa kehilangannya malam tadi. Kerana yakinnya dia akan dimarahi oleh Cikgu Fakri, maka dia berdiri di hadapan guru itu sambil menundukkan kepalanya. Satu saat, dua saat, tiga saat. Masih tidak berlaku apa-apa. Cikgu Fakri masih tidak memarahinya.

            Dafi kemudiannya mengangkat kepala. Pandangannya disambut dengan pandangan lembut daripada Cikgu Fakri. Cikgu Fakri kemudiannya menghulurkan sebuah kotak bersaiz sederhana kepadanya. Matanya bulat apabila dapat mengenal pasti objek-objek di dalamnya. Perahu-perahu kertasnya yang hilang kini kembali dalam genggamannya! Dafi memandang gurunya dengan pandangan tidak percaya. Wajahnya tidak lagi suram. Malah jelas kelihatan ceria.

Senyum lebar diukir ikhlas. Tanpa ragu-ragu dia mengucapkan, “Terima kasih, cikgu.”

            Cikgu Fakri mengangguk sambil mengukir senyum. “Jom, cikgu bawa kamu ke suatu tempat.”

****
            “Kenapa cikgu bawa saya ke sini?” Dafi memberanikan diri bertanya setelah beberapa lama mereka berdiam diri.

            “Dafi, sungai ini cikgu gelarkan Sungai Perahu. Bagi cikgu, sungai ini suatu simbolik kepada harapan. Harapan kepada pokok-pokok untuk dapatkan airnya. Harapan kepada haiwan-haiwan kecil untuk hilangkan dahaga. Harapan kepada kehidupan di sekitarnya. Harapan yang tersembunyi di balik hati.” Cikgu Fakri menyusun kata.

            “Cikgu sudah tahu kenapa kamu begitu sayangkan perahu-perahu kertas kamu. Cikgu tahu dan cikgu faham. Maka sebab itu cikgu bawa kamu ke mari. Supaya kamu mampu melepaskan kesedihan itu.” Mata dibawa mentafsir riak wajah Dafi.

            “Lepaskanlah, Dafi. Lepaskanlah. Ibumu pasti mengerti. Semoga kesedihan yang kamu bebaskan akan mengalir pergi seperti sungai ini. Semoga harapan kamu kekal tidak putus, seperti tidak putusnya air sungai ini mengalir.”

            Mata Dafi berkaca-kaca. Sehelai daun kering di sebelahnya dicapai. Dia memejamkan mata. Mindanya membayangkan perahu-perahu kertasnya. Perlahan-lahan dia menghanyutkan daun kering itu. Selepas satu, satu daun kering dihanyutkan anak itu. Sehingga juraian air matanya kering sendiri. Benar kata Cikgu Fakri. Kesedihan itu tidak boleh dibiarkan tersimpan lama.

            Dafi yang mencangkung di tebing sungai kini sudah berdiri di sebelah gurunya. Dia mengukir senyum.

            “Terima kasih, cikgu.”


TAMAT.
28/7/2018
1.32 am.

Comments

Popular posts from this blog

Bulanku

The Radio

Bismillah...