Qalesya
(PART 2)
Dua hari telah berlalu sejak Qalesya dan Hana diberitahu tentang kemasukan Fariz ke Kepler High. Dan hari ini, Fariz memulakan hari pertamanya di sekolah dengan wajah suci yang ditayang. Lebih malang lagi bila Fariz dimasukkan ke kelas gadis berdua itu kerana tiada kekosongan di kelas lain. Hana tidak dapat menahan rasa menyampahnya terhadap lelaki itu ketika dia memperkenalkan diri. Gadis itu mencebik lalu membuang pandang ke luar kelas. Hati rasa berbulu melihat wajah suci yang ditayang lelaki itu. Qalesya pula sibuk membelek-belek hartanya. Buku, pen, botol air, habis semua dibeleknya demi mengelakkan mata daripada memandang wajah yang cukup menjengkelkan itu. Namun sempat juga dia menangkap senyum sinis yang tiga saat yang diukir lelaki itu sebelum kembali menampal senyum plastik. Qalesya mengeluh dalam hati. Hidup mereka berdua memang tidak akan aman selagi Fariz masih bersekolah di situ.
************************
Sudah sebulan Fariz menjalani rutin sebagai seorang pelajar di Kepler High. Sudah sebulan juga Fariz tak habis-habis mengenakan Qalesya dan Hana. Penerimaan yang baik daripada rakan sekelas terhadap Fariz membuatkan Qalesya dan Hana sekadar membiarkan. Malas mahu melayan. Lagipun Fariz hanya berkelakuan tidak matang. Kadang-kadang sengaja dilanggarnya meja Qalesya bila dia lalu di sebelah. Kadang-kadang dia berpura-pura tidak sengaja menumpahkan air pada buku-buku Qalesya. Ah, setakat sabotaj kecil begitu, Qalesya dan Hana memang tak akan pandang. Tetapi sekali-sekala dua gadis itu membalas juga. Bezanya, serangan balas yang dilakukan dua gadis itu lebih teratur, lebih matang dan tentunya dilakukan secara rahsia. Dan bila si Udang Fariz menerima balasan, wajah Fariz akan mencuka seharian. Dan biasanya panggilan telefon daripada makngah sampai ke rumah hari itu juga.
Tetapi hari ini, Fariz telah berada setapak di hadapan dalam melaksanakan misi memalukan Qalesya dan Hana. Fariz selamba sahaja membuka sesi ‘ Mari Mengenal Siapa Sebenarnya Nurul Qalesya’ sambil duduk di atas meja Qalesya. Ketika itu Qalesya dan Hana baru sahaja kembali dari tandas. Qalesya sebenarnya tidak peduli jika Fariz hendak bercerita yang buruk-buruk tentang dirinya. Dia sudah lali. Asalkan tiada yang percaya bulat-bulat kata-kata lelaki itu. Tetapi dia peduli bila nama Hana turut dikait sama. Dia peduli bila rakan-rakannya lebih percayakan Fariz yang baru dikenali daripada dirinya yang sudah bertahun-tahun belajar sekelas dengan mereka. Dan yang lebih pahit ditelan adalah bila rakan-rakannya mula menjauhkan diri daripada mereka berdua. Masing-masing memindahkan meja mereka menjauhi meja gadis berdua itu. Masing-masing lebih rela duduk berhimpit dan bersesak daripada berada berdekatan Qalesya.
Hana mengetap bibir. Fariz memang sudah melampau. Dadanya berombak menahan marah. Mata tajam memandang Fariz yang sedang tersenyum megah di hadapan kelas. Ikutkan hati, mahu sahaja ditamparnya mulut celupar Fariz. Mahu sahaja dia menarik rambut lelaki itu. Biar si Udang itu botak. Tetapi semua keinginan itu terpaksa ditelan sendiri bila Qalesya terlebih dahulu meenggenggam tangannya. Dan dia pula terpaksa bertenang bila Qalesya menegahnya. Sangkanya Qalesya akan diam sahaja. Tetapi dia terkejut apabila Qalesya membuka mulut dan bersuara.
“Tak apalah kalau kau orang lebih percayakan Fariz daripada aku yang kau orang dah kenal lama. Aku terima sahaja apa-apa umpatan atau hinaan daripada kau orang. Cuma satu yang aku minta.” Jeda seketika. Tidak pernah dia sesinis itu dengan rakan-rakannya. “Jangan libatkan Hana dalam hal ini. Kau orang tak layak untuk menghakimi dan menghukum Hana berdasarkan cerita Fariz semata-mata. Dan aku sendiri tak akan membuka mulut tentang hal peribadi aku. Terselit ketegasan dalam kata-kata Qalesya. Wajahnya tenang tanpa riak ketika mulutnya lancar mengeluarkan kata-kata sebelum dia melangkah menuju ke tempat duduknya yang sudah terasing. Gadis itu kemudiannya selamba sahaja membuka buku dan berlagak biasa.
Hana memandang Qalesya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan orang lain. Betapa dia mengerti maksud sebenar Qalesya di sebalik kata-katanya. Qalesya yang selama ini lebih senang mendiamkan diri bila dibuli Fariz. Qalesya yang selama ini gembira bila berada di sekolah kerana dulunya dia diterima baik oleh rakan sekelas walau siapa pun dia sebenarnya. Hana masih lagi merenung Qalesya yang sudah seperti kembarnya. Qalesya yang kecewa dengan rakan sekelasnya itu sedang berlagak biasa. Qalesya yang terasa dikhianati kawan-kawan rapat itu sedang berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun lakonan gadis itu tidak menjadi di mata Hana. Dia cukup tahu apa yang tersirat di hati saudaranya itu. Hana mengeluh dalam hati.
Perlahan dia melangkah menuju ke mejanya di sebelah Qalesya. Tangannya mengusap belakang Qalesya, dengan harapan dapat menyalurkan sedikit kekuatan kepada gadis itu. Ingin sahaja dia menangis bila Qalesya sekadar mengukir senyum palsu yang jelas kelihatan lemah di mata seorang Hana. Namun ditahan air matanya daripada gugur. Qalesya memang tidak pandai hendak mengaburi mata Hana. Namun dia tidak dapat menahan lagi bila mendengarkan ayat yang dituturkan Qalesya.
“Aku okey asalkan kau okey.”
************************
Qalesya terkedu melihat mejanya yang penuh dengan contengan. Hana di sebelah turut terdiam sama. Dada terasa sesak melihat meja Qalesya yang selama ini dijaga rapi berubah rupa. Riak wajah ditahan daripada berubah.
‘Get lost!’
‘You don’t belong here.’
‘We ain’t friends with someone who brings bad luck.’
‘A liar who hid your identity well.’
‘Thought you were an angel but you weren’t”
Mata membaca satu persatu ayat yang diconteng. Air liur yang ditelan terasa pahit. Tak sampai seminggu sejak kejadian Fariz membongkar rahsia Qalesya, rakan-rakannya kini berani mensabotaj gadis itu seperti ini. Tangan dibawa menyeluk poket uniform mencari kertas tisu untuk memadamkan kesan contengan. Namun kesan contengan pen itu bukan mudah untuk dipadamkan begitu sahaja. Dua gadis itu mengetap bibir.
Qalesya menahan hati. Betullah, kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Tak sangka dia akan mengalaminya sendiri. Ah, kalau Fariz yang menjadi mastermind, tiada yang mustahil. Si Udang tu akan melakukan apa-apa sahaja demi menyakitkan hati Qalesya.
Baru sahaja dia hendak melabuhkan duduk, Hana terlebih dahulu menarik lengannya. Hana kemudiannya menunduk memerhati kerusi Qalesya. Ada rekahan yang besar di kaki kerusi. Ini mesti kerja Fariz. Hana mendengus geram. Mujur dia sempat menahan Qalesya daripada duduk. Jika tidak tentu Qalesya akan menjadi bahan ketawa seisi kelas. Dan dia tak rela untuk melihat saudaranya diketawakan. Lainlah kalau Fariz yang menjadi mangsa. Dengan senang hati dia akan ketawa sama. Gadis itu kemudiannya menarik Qalesya keluar dari kelas. Sempat dia menghantar isyarat amaran pada Fariz yang sedang berdiri di muka pintu.
Langkah kaki dibawa menuju ke bumbung sekolah. Tempat rahsia mereka berdua sejak kehadiran Fariz di sekolah itu. Wajah mendung Qalesya dipandang lama. Dia risaukan saudaranya itu. Dia takut kalau-kalau Fariz dan rakan-rakannya semakin berani. Mula-mula sekadar mengata di belakang, kemudian mereka mendera jiwa Qalesya dengan mensabotaj gadis itu. Tak mustahil jika selepas ini mereka akan mengada-adakan cerita sehingga Qalesya berjaya disingkirkan dari sekolah itu. Dan yang paling dia takuti ialah jika Qalesya dicederakan.
Wajah Qalesya yang masih merenung kosong itu dipandangnya lagi. Mata terasa panas bila melihat Qalesya menyeka air mata. Hatinya ingin memujuk namun entah kenapa mulutnya bagai terkunci. Sudah lama dia tidak nampak Qalesya menangis. Sejak gadis itu mula lali dengan cemuhan sanak-saudara ketika kecil dahulu, Qalesya tidak pernah betul-betul menangis. Selalunya gadis itu hanya menangis bila menonton drama Korea sebelum ketawa terkekeh-kekeh. Tetapi kali ini gadis itu benar-benar menitiskan air mata kerana dada tidak mampu manahan sedih. Dan itu cukup untuk membuatkan hati seorang Hana digigit rasa sayu. Cukup untuk membuatkan dia kehilangan kata-kata.
“Ana.” Hana berpaling memandang wajah mendung itu.
“My parents' death. Was it really my fault?” Perlahan suara itu menuturkan.
Hana tersentak mendengar ayat yang dituturkan. Sebak di dada tidak dapat ditahan lagi. Cepat-cepat dia menarik Qalesya ke dalam pelukan. “Kau cakap apa ni, Sya?”
Qalesya hanya membatu dalam pelukan saudaranya itu. “People said so.” Gumamnya rendah.
“You know that’s not true.” Hana meleraikan pelukan. “Sya, hari ini kita tak payah masuk kelaslah. Kita perlukan rancangan untuk balas dendam terhadap si Udang. Masuk kelas pun buat sakit hati saja. Eeii, geramnya aku. Tunggulah, aku siat-siat kulit si Udang tu nanti.” Hana mematah-matahkan jarinya.
Qalesya ketawa halus. Hana memang sahabat dan saudaranya yang terbaik yang dia pernah ada. Hana tidak memujukya dengan kata-kata memujuk. Hana akan membuatnya ketawa. Dan helah Hana tidak pernah gaga memujuknya. Walau sesedih mana pun dia, namun Hana tetap berjaya melupuskan kesedihan itu.
Hana tersenyum senang melihat Qalesya sudah ketawa. Lega hatinya bila melihat Qalesya masih mampu untuk ketawa. Biarpun tanggapan orang terhadap Qalesya sudah berubah, namun bagi Hana gadis itu tetap sama. Qalesya tidak pernah berubah. Dan gadis itu tidak akan berubah.
Bersambung...
Comments
Post a Comment