Qalesya

(PART 1)

“Siapa dapat nombor satu kali ini?”

Bola mata dibawa bergilir-gilir memandang dua anak gadis di hadapannya. Nurul Qalesya dan Hana Alisa. Kedua-duanya anak yang disayang. Sama rata kasih yang ditumpahkan. Tiada istilah pilih kasih dalam keluarga itu. Meski Qalesya bukanlah anak kandungnya, namun dia tetap membelai anak itu sama seperti dia membelai anak sendiri.

“Kali ini Ana kalah dengan Sya. Tak apa, lain kali giliran Ana pula dapat nombor satu.” Hana Alisa menjelir lidah pada gadis di sebelahnya. Gadis itu hanya menjongket bahu melihat telatah ‘kembarnya’ itu.

“Anak ibu dua-dua pandai. Sudah, pergi mandi kemudian solat. Selesai solat baru turun makan,” ujar Puan Aisyah lembut sambil tangannya mengusap kepala dua anak gadis itu. Mata kemudiannya mengekori dua susuk tubuh yang erat menyilangkan tangan dalam melangkah menuju ke bilik.

Nurul Qalesya. Gadis itu seorang yang ceria. Cuma kalau dibandingkan dengan Hana Alisa, dia lebih pendiam. Gadis itu agak pasif kalau hendak dibandingkan dengan Hana yang terlebih aktif. Namun gadis itu biasanya mudah tertawa walaupun sekadar mendengar jenaka Hana yang tak seberapa. Ah, mereka membesar bersama. Tentulah hubungan itu melebihi daripada apa yang terzahir di mata kasar. Qalesya kenal siapa Hana. Begitu juga sebaliknya. Masing-masing arif dalam hal satu sama lain. Masakan tidak? 17 tahun membesar bersama. Berebut susu, berebut bantal, tentulah sudah cukup untuk mereka memahami satu sama lain.

17 tahun dahulu, Qalesya disisihkan keluarga besarnya. Kelahirannya seolah-olah tidak diundang. Ibu kandungnya tidak dapat bertahan lama lalu meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan. Kematian adik bongsu dalam keluarga itu tidak dapat diterima. Puan Aisyah sendiri sukar mahu percaya. Namun imannya masih teguh. Sedar bahawa kematian adik bongsunya itu satu ketetapan yang tidak dapat diubah. Namun adik-beradiknya yang lain mempunyai pendirian yang berbeza. Masing-masing mahu mencari seseorang untuk dipersalahkan atas kematian itu. Dan ya, si kecil Qalesya menjadi mangsa. Mujur ketika itu ayahnya ada di sisi. Walaupun masih bersedih atas pemergian isterinya, namun dia setia menjaga Qalesya. Mulut celupar saudara-mara tidak dipedulikan. Dia bersyukur, sekurang-kurangnya anak yang dinantikan selamat dilahirkan.

Namun selepas usianya mencecah seminggu, ayahnya terlibat dalam kemalangan tragis ketika dia dalam perjalanan ke hospital. Waktu itu Qalesya masih lagi di hospital kerana kesihatannya memerlukan pemantauan terperinci. Dan saudara-mara pula makin rancak mengumpat keji si kecil Qalesya yang tidak tahu apa-apa. Kononnya Qalesya membawa malang kepada orang sekelilingnya. Dalam kekalutan yang berlaku itu, masing-masing sibuk berhujah mempertahankan pendapat, mahu menghantar Qalesya ke rumah kebajikan. Maing-masing tidak mahu bertanggungjawab, konon takut terpalit sama badi yang dibawa.

Puan Aisyah menggeleng kepala bawah sedar. Akhirnya, dia yang memelihara anak itu. Sungguh dia tidak sanggup melihat anak saudaranya dihantar ke mana-mana pusat kebajikan. Dialah yang menyusukan, dialah yang mendodoikan dan dia jugalah yang membesarkan anak itu. Ketika itu dia baru sahaja dua bulan melahirkan Hana Alisa. Maka sejak itulah Qalesya dan Hana membesar bersama. Tidak pernah berenggang. Cukup erat. Malah Hana sendiri akan mempertahankan Qalesya apabila dipulaukan oleh sanak-saudara. Hana yang akan petah mulut membidas setiap kata-kata berbentuk hinaan yang dilemparkan. Hana ibarat superhero di mata Qalesya. Bagi Qalesya, Hana adalah segalanya.

*********************************

Qalesya dan Hana masing-masing sedang leka menghabiskan nasi di pinggan. Masuk kali ini, sudah tiga kali mereka menambah nasi. Memang mereka kuat makan. Badan saja kecil. Banyak cacing dalam perut, mungkin.

Puan Aisyah setia menemani dua anak gadisnya makan. Dia sendiri memang suka melihat anak-anaknya makan. Terasa hilang penatnya. Namun petang itu fikirannya melayang ke tempat lain. Ingatannya tertumpu pada panggilan yang diterimanya pagi tadi. Sekilas matanya memandang Qalesya dan Hana yang masih lagi menyuap nasi ke mulut. Sesekali terdengar gurauan antara mereka. Dia menghela nafas sebelum membuka mulut.

“Pagi tadi makngah kamu telefon ibu,” tangannya menuangkan air ke dalam gelas yang sudah kosong. Matanya cekap menangkap reaksi kedua-dua gadis itu, Hana mencebik kecil sebelum kembali meneruskan suapan. Qalesya pula cuma diam sahaja, tidak bereaksi. Dan dia cukup faham dengan respons yang ditunjukkan.

“Katanya Fariz baru pindah sekolah.” Fariz, anak makngah. Peragai hantu yang dimiliki memang diwarisi daripada ibunya sendiri. Mulut celupar. Dan tentulah musuh ketat budak perempuan berdua itu.

“Udang tu? Kalau si Udang tu biasalah. Kerjanya asyik tukar sekolah saja. Dah gagal semedang. Bila malu, pindah sekolah,” ujar Hana selamba sambil mengangkat kening double-jerk pada Qalesya di sebelah. Tangannya ligat menyenduk nasi sebelum mencapai gelas dan dibawa ke mulut.

“Tapi kali ini dia akan pindah masuk ke sekolah kamu. Katanya dalam minggu ini, selesailah proses pertukaran tu.” Puan Aisyah menjawab tenang.

Qalesya yang sejak tadi diam sahaja tersedak mendengar kata-kata wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya. Kalut dia mencapai gelas. Hana pula hampir-hampir tersembur keluar air yang diminum. Susah-payah dia menelan air di mulut. Puan Aisyah yang melihat menyembunyikan senyum. Dia terlebih dahulu dapat menjangka reaksi yang ditunjukkan dua anak gadis itu. Kedua-dua gadis itu kemudiannya saling berpandangan sesama sendiri. Masing-masing menolak untuk mempercayai berita yang baru didengari sebentar tadi.

Hana kemudiannya membuka mulut. “Tak mungkin si Udang tu boleh masuk Kepler High. Diakan, udang.” Gadis itu ketawa terkekeh-kekeh.

Ya, Si Udang. Itulah gelaran mereka berdua terhadap sepupu mereka, Fariz. Singkatan daripada otak udang. Masakan tidak, Fariz tidak pernah lulus dalam akademik. Yang dia tahu cuma bermain ragbi. Percuma saja digelar udang oleh budak berdua itu. Dengan Fariz, mereka memang tidak pernah sebulu. Fariz dengan mulut celupar yang diwarisi daripada ibunya. Hana pula tentulah sebagai seorang pahlawan yang melindungi Qalesya daripada ancaman si Udang.

“Tapi Kepler High baru menubuhkan pasukan ragbi. Dan tentulah cara terbaik menubuhkan pasukan yang berkualiti adalah dengan merekrut permain terbaik di sekolah-sekolah lain. Kamu lupa?” Puan Aisyah masih lagi tenang melayan.

Kepler High merupakan sekolah tinggi yang berprestij. Bukan calang-calang orang diterima masuk ke sekolah yang kedudukannya berada di tiga teratas di seluruh Asia. Hanya golongan bijak pandai sahaja yang diterima masuk dan paling penting sekali, pendidikan yang ditawarkan di sekolah itu adalah percuma! Siapa yang akan menolak jika ditawarkan peluang sebegitu? Uniform sekolah itu juga berbeza dengan sekolah lain. Dan anugerah tuhan, Qalesya dan Hana kedua-duanya layak menerima pendidikan di sekolah itu.

“Nampaknya Sya, lepas ni hidup kita tak akan aman.” Hana mendengus kecil. Matanya merenung nasi di pinggan. “Eeii, tak seleralah nak makan macam ni.”

Qalesya menggeleng kepala. “Aku rasa dia tak akan kekal lama. Akademik tetap keutamaan bagi Kepler. Dan Kepler bukan tempat untuk si Udang.”

****************************

Bersambung...

Comments